#SLTalk 1.0

Menara KPMG, Bandar Utama 14/02/2018

#SLTalk Inisiatif Dua Hala Siswa Buat Pelajar

DAMANSARA, 14 Februari – Belajar di masa kini untuk memimpin di masa hadapan. Cogan kata itu menjadi mesej moral yang ingin disampaikan oleh perusahaan sosial Schoollah Malaysia khusus buat para pelajar di Malaysia.

Pada 10 Februari 2018, Schoollah telah menganjurkan #SLTalk buat julung kalinya di H Space, Menara KPMG bertempat di Bandar Utama, Selangor. Acara tersebut dihadiri 100 peserta yang terdiri daripada calon lepasan SPM tahun 2017 di Malaysia termasuk Lembah Klang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Seminar yang berlangsung selama hampir 8 jam itu ditaja secara eksklusif oleh jenama pakaian lelaki Baumwolle dan minuman tenaga berkarbonat Warrior selain mendapat liputan merentas media massa dari stesen radio 1M4U dan Sinar FM. 10 orang sukarelawan yang bertugas menjadi fasilitator hadir dari pelbagai latar belakang universiti serata negara dan menjadi tulang belakang kepada kejayaan seminar tersebut, di mana mereka berkongsi maklumat terkini program dan kursus di universiti seperti kursus undang-undang, bidang perakaunan sehingga jurusan kejuruteraan.

Pengasas Schoollah Malaysia Lukman Khiruddin, 24, telah menjinakkan diri dalam bidang pendidikan sejak empat tahun yang lalu, membantu dan membimbing anak-anak muda yang masih buntu sebelum mereka menjejaki menara gading. Dalam era di mana teknologi maklumat mulai berkembang, beliau mengambil pendekatan untuk memberi rundingan dan sesi kaunseling melalui media sosial seperti Twitter dan WhatsApp yang kini menjadi medium perantara utama Lukman dan pelajar lain.

“Tujuan saya menubuhkan perusahaan ini adalah bagi membuka ruang kepada semua pelajar di seluruh negara untuk meraih peluang merealisasikan cita-cita murni yang ditanam dalam diri mereka, dan agar mereka mampu menjadikan impian mereka nyata dengan segenap cara yang mungkin. Saya percaya Schoollah mampu menjadi medium bagi membimbing dan mendedahkan kepada pelajar segala peluang yang ditawarkan di peringkat pengajian tinggi,” nyata Lukman yang juga merupakan seorang akauntan profesional bertauliah.

Pengalaman luas beliau dalam aspek pendidikan tinggi khususnya berkaitan biasiswa dan sistem pengambilan pelajar ke universiti (UPU) membolehkan beliau untuk menjawab segala persoalan dan kekeliruan yang dilontarkan peserta seminar #SLTalk dengan berkesan.

Sekiranya anda terlepas peluang dalam menyertai seminar tersebut, usah risau kerana sesi #SLTalk yang seterusnya bakal dianjurkan dalam masa terdekat! Layari laman Twitter kami di @schoollah untuk maklumat lanjut.

Ketik sini untuk melihat Event Report #SLTalk – #SLTalk 1.0 Report