#SLTalk 2.0

Taylor's University, Subang 10/03/2018

#SLTalk Kembali buat Kali Kedua

SUBANG JAYA, 10 Mac – Melihatkan kepada respons positif selain sambutan yang menggalakkan, Schoollah Malaysia telah menganjurkan seminar #SLTalk edisi kedua bertempat di Kolej Taylor’s yang berpusat di kampus Subang. Modul seminar pada kali ini adalah sama seperti edisi pertama dengan sedikit penambahbaikan. #SLTalk 2.0 telah dihadiri seramai 101 orang peserta dengan 38% merupakan pelajar sekolah menengah harian. Majoriti daripada peserta hadir dari Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Terengganu dan Kelantan.

Schoollah mengekalkan objektif utama dalam merancang tentatif seminar, antaranya mendedahkan kepada pelajar variasi laluan menuju pendidikan tinggi yang ada di Malaysia dan luar negara, selain memberi peluang kepada peserta untuk meluaskan jaringan kenalan mereka. Schoollah turut percaya #SLTalk membantu meningkatkan kerelevanan organisasi tersebut dalam pasaran pendidikan di Malaysia.

#SLTalk pada kali ini turut menampilkan sesi mock interview, di mana peserta dipilih secara rawak untuk menghadiri ‘sesi temuduga biasiswa’ yang dikendalikan oleh tiga orang fasilitator, turut memainkan peranan sebagai para penemuduga. Ia diyakini mampu menyiapkan peserta menghadapi sesi temuduga yang kebiasaannya diadakan oleh badan-badan tajaan biasiswa gergasi Malaysia, termasuklah Yayasan Peneraju, Yayasan Khazanah dan Bank Negara Malaysia.

“Seminar yang kami anjurkan pada kali ini diadakan setelah meneliti sambutan baik yang kami terima dari kalangan peserta,” ujar pengasas Schoollah Malaysia, Lukman Khiruddin. “Di laman Twitter kami, masih ada pelajar yang keliru mengenai permohonan UPU mereka, selain terlalu mendengar informasi lapuk tentang sesetengah jurusan program yang ditawarkan di peringkat universiti. Tidak kurang juga pelajar yang hanya mengetahui kewujudan dua hingga tiga universiti tanpa menyedari terdapat banyak lagi institusi pengajian tinggi awam yang boleh mereka pertimbangkan dalam permohonan UPU. Menyedari keadaan ini, Schoollah Malaysia menganjurkan #SLTalk kerana bantuan secara bersemuka lebih berkesan berbanding secara maya sahaja,”

Schoollah Malaysia merupakan badan konsultasi pendidikan berdaftar di Malaysia yang memegang aspirasi untuk membantu semua lepasan SPM, STPM dan setaraf perihal pendidikan tinggi termasuk tips memohon biasiswa dan menyambung pelajaran ke luar negara.

Penulis berharap agar objektif murni tersebut dapat dicapai selain sayap Schoollah Malaysia dapat diluaskan ke pelusuk negara.

Ketik sini untuk melihat report #SLTalk 2.0 – #SLTalk 2.0