#SLTalk 3.0

UniKL MIAT, Sepang 24/03/2018

#SLTALK 3.0 – Bukti Kepentingan Schoolah Malaysia kepada Masyarakat

SEPANG, 24 Mac – Schoollah Malaysia sekali lagi berjaya membuktikan kerelevenan mereka terutamanya di kalangan lepasan SPM dan STPM. Pada 24 Mac 2018, Schoollah Malaysia telah menganjurkan #SLTalk edisi ketiga dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kampus MIAT yang bertempat di Sepang, Selangor. Seminar yang diadakan khas buat lepasan SPM itu bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Berpandukan modul yang sama seperti edisi sebelumnya, seminar tersebut berjaya menarik minat 60 orang peserta, rata-rata hadir dari Selangor dan juga Negeri Sembilan. Hal ini lantas berjaya membuktikan kepentingan Schoollah dalam sektor pendidikan tempatan. Modul seminar padat dengan informasi penting seperti tips permohonan UPU dan juga biasiswa. Melalui seminar ini, peserta program mulai mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai pilihan dan alternatif yang ada bagi mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi, sekaligus mencapai objektif utama Schoollah Malaysia.

Faktor utama yang membezakan #SLTalk dengan seminar yang lain ialah sesi Mock Interview yang dirancang khas buat para peserta bagi menyiapkan diri mereka menghadapi sesi temuduga oleh badan-badan penajaan pendidikan terkemuka di Malaysia. Sesi tersebut menampilkan para peserta program yang dipilih secara rawak bagi menghadiri ‘sesi temuduga’ dikendalikan oleh para fasilitator yang juga memainkan watak sebagai panel penemuduga. Hasil dari sesi tersebut, peserta telah didedahkan dengan soalan-soalan yang acap kali ditanya semasa temuduga sebenar.

Schoollah Malaysia yang diasaskan oleh Lukman Khiruddin merupakan sebuah badan rundingan pendidikan yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah perusahaan sosial yang bertunjangkan aspirasi bagi membantu lepasan SPM, STPM dan setaraf bagi mencapai cita-cita yang dipasang sejak kecil lagi.

Seminar kali ini juga merupakan seminar terakhir bagi siri #SLTalk yang bermula sejak Januari tahun ini. Adalah diharapkan agar peserta program mampu memanfaatkan ilmu yang diperoleh sepanjang seminar berlangsung di masa akan datang. Penulis juga menyimpan harapan besar buat Schoollah Malaysia agar dapat meluaskan sayap bagi merealisasikan objektif murni yang telah dirangka.