Pengalaman Interview Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)

Biasiswa Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) kini kembali lagi untuk tahun 2018! Penajaan ini khusus hanya untuk lepasan:

  • STPM/STAM
  • Matrikulasi
  • Asasi
  • Diploma
  • setaraf

Diingatkan, lepasan SPM tidak boleh memohon penajaan ini. Berikut merupakan butiran untuk permohonan biasiswa yang ditawarkan oleh PIDM.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 16 April 2018. Pelajar boleh membuat permohonan di sini – PIDM

Pengalaman Temuduga PIDM

Untuk para pelajar yang bercadang memohon penajaan PIDM, kami di pihak Schoollah  Malaysia akan berkongsi satu pengalaman temuduga oleh Nurul Nabila@nabilalolih yang merupakan pelajar jurusan Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Saya adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda semester kedua program Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Utara Malaysia dan ditaja penuh oleh biasiswa Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Saya memohon biasiswa ini pada tahun 2017 ketika masih belajar di Pusat Asasi UUM, program Asasi Pengurusan. Antara sebab saya memilih untuk memohon biasiswa ini adalah kerana jumlah tajaan yang ditawarkan PIDM sangat mencukupi untuk saya menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar iaitu yuran sehingga RM5,000 ditanggung setiap semester, perbelanjaan alat tulis dan pembelajaran sebanyak RM2,000 setiap semester dan wang saku sebanyak RM500 setiap bulan. Secara keseluruhan, wang yang ditawarkan boleh mencecah sehingga RM20,000 setahun.

Permohonan biasiswa PIDM adalah secara dalam talian. Saya hanya memuat turun borang permohonan dan menghantar semula selepas selesai mengisi semua maklumat dan memuatnaik semua butiran maklumat yang diminta seperti slip pernyataan gaji ibu bapa, pengesahan tempat belajar, gambar terkini dan lain – lain.

Antara faktor lain yang menarik minat saya untuk memohon biasiswa PIDM adalah kerana mereka menyediakan program mentor atau coaching. Program ini bertujuan untuk memudahkan pihak PIDM memantau prestasi para pemegang biasiswa dan membantu kami jika terdapat sebarang masalah. Mentor diberi berdasarkan kursus yang diambil oleh kami ketika di institut pengajian masing masing.

Permohonan biasiswa PIDM ditutup pada bulan April. Sekitar awal bulan Jun saya menerima panggilan dari pihak PIDM yang menyatakan bahawa saya terpilih untuk menghadiri sesi temuduga di pejabat mereka iaitu di bangunan Axiata berdekatan dengan KL Sentral. Pemohon yang terpilih untuk menghadiri sesi tersebut pada tahun lepas adalah seramai 35 orang. Kami diberi tentatif temuduga dan nombor giliran iaitu hanya lima orang bagi setiap satu tarikh yang ditetapkan. Giliran saya pada 12 Julai dan merupakan orang kedua yang akan ditemuduga.

Semua pemohon perlu tiba di pejabat PIDM pada pukul 9.00 pagi. Setibanya kami di sana, sarapan telah pun disediakan dan pihak PIDM turut membayar semula tambang pengangkutan am yang kami belanja untuk menghadiri sesi temuduga tersebut. Memandangkan saya ketika itu menaiki bas dari Perlis untuk ke Kuala Lumpur, saya diberi RM100.

Selepas selesai sarapan, kami diberi masa untuk memikirkan satu tajuk yang akan dibentangkan selama tiga minit  semasa sesi temuduga berlangsung. Kemudian kami semua membentuk satu kumpulan (seperti  ujian lisan MUET) dan perlu berbincang tentang satu tajuk yang diberi. Untuk sesi tersebut, kumpulan saya dikehendaki untuk berbincang mengenai kebaikan dan keburukan teknologi pada masa kini. Semua perbincangan kami dari awal masuk ke bilik itu sehingga habis adalah dalam bahasa Inggeris. Ketika itu kami turut disertai lima orang wakil PIDM, di mana empat daripada mereka juga merupakan orang yang akan menemuduga kami setelah sesi perbincangan secara berkumpulan tamat.. Kami hanya perlu memberi pendapat masing-masing tentang kenyataan tersebut dan berinteraksi dengan pemohon yang lain.

Setelah selesai perbincangan itu, calon pertama dipanggil masuk ke dalam bilik yang lain manakala calon yang lain diberi satu set soalan dan esei untuk disiapkan. Sebagai calon kedua saya diberi pilihan untuk menjawab soalan dan menulis esei sama ada sebelum atau selepas ditemuduga. Saya memilih untuk menjawab penilaian tersebut selepas selesai ditemuduga agar boleh fokus kepada tajuk yang akan saya bentangkan di dalam bilik temuduga nanti. Selesai calon pertama ditemuduga, giliran saya telah tiba. Saya terus disuruh untuk memulakan sesi pembentangan. Pembentangan ini bagi saya sangat penting walaupun hanya tiga minit diberikan kerana saya perlu pastikan saya bercakap dengan lancar dengan isi yang kukuh dan relevan. Jadi, saya sarankan untuk pemohon lain memilih satu tajuk yang mudah untuk anda bentang dan terangkan bagi mengelak ketandusan idea atau tergagap semasa topik dibentangkan kerana masa yang diberikan adalah sangat singkat.

Kemudian, saya dijemput duduk dan mula ditemuduga. Penemuduga pertama tidak menanyakan sebarang soalan kepada saya. Wakil yang kedua banyak bertanyakan soalan yang berkisarkan rancangan kewangan,  seperti apa rancangan saya selepas ini andai kata saya tidak terpilih untuk menjadi pemegang biasiswa tersebut memandangkan itu adalah satu-satunya biasiswa yang saya mohon. Beliau juga bertanyakan kenapa saya tidak memilih untuk memohon pinjaman PTPTN sedangan keputusan saya semasa Asasi cukup memuaskan dan ada harapan untuk pinjaman PTPTN ditukarkan kepada biasiswa selepas belajar.

Penemuduga ketiga paling banyak bertanyakan soalan kepada saya. Antara soalannya banyak mengenai latar belakang kehidupan saya. Beliau juga menduga sama ada saya mampu memberi komitmen sekiranya pihak mereka menganjurkan sebarang program yang memerlukan kehadiran saya sebagai pemegang biasiswa di sana. Penemuduga terakhir hanya bertanyakan siapa idola saya. Para penemuduga sangat menyenangkan dan sesi tersebut menjadi agak santai. Jadi lebih mudah buat kami menceritakan hal kehidupan atau permasalahan mereka tanpa rasa terbeban.

Selesai saya ditemuduga, saya mulai menduduki ujian penilaian bertulis dengan masa yang ditetapkan. Saya dibenarkan pulang setelah mengambil set makanan tengah hari yang disediakan.

Tips yang dapat saya kongsi untuk menghadiri temuduga  ini adalah anda harus sentiasa mempunyai keyakinan yang tinggi, selain jujur dan datang awal. Semasa bercakap, sentiasa pandang muka penemuduga dan praktikkan untuk bercakap dengan lancar sebagai tanda anda telah membuat persediaan secukupnya. Pada saya, tatabahasa semasa bercakap tidak perlu menjadi satu kerisauan besar buat anda, sekurang-kurangnya anda perlu pastikan idea yang ingin disampaikan adalah jelas dan mudah difahami.

Subscribe To Our Newsletter

Subscribe To Our Newsletter

Join our mailing list to receive the latest news and updates from our team.

You have Successfully Subscribed!