JPA: Program Khas Kejuruteraan JKPJ 2018

Pada tahun 2012, sejurus selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, saya telah memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ). Semenjak di bangku sekolah menengah lagi saya telah menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Perancis. Jadi, saya tidak melepaskan peluang untuk memohon program yang ditawarkan oleh JPA pada waktu tersebut.

Sebelum memohon kepada mana-mana biasiswa atau bantuan dana pelajaran, pastikan keputusan SPM yang diperoleh menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Contohnya, bagi permohonan ke Program Khas Kejuruteraan, pemohon perlulah mendapat sekurang-kurangnya gred A dalam tujuh (7) mata pelajaran termasuk mata pelajaran berikut: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Matematik Tambahan, Fizik, dan Kimia. Selepas mengesahkan bahawa segala syarat yang ditetapkan telah dipenuhi, saya telah mengemukakan permohonan atas talian melalui laman sesawang rasmi JPA (http://esilav2.jpa.gov.my/). Keputusan panggilan temuduga boleh disemak melalui laman yang sama.

Saya telah disenaraipendek untuk menghadiri proses penilaian Student Assessment Centre (SAC) dan temuduga yang berlangsung di Kampus INTAN Wilayah Utara, Sungai Petani. Sesi penilaian ini berlangsung selama satu hari di lokasi yang telah ditetapkan berdasarkan kawasan yang telah dipilih semasa memohon.

Setibanya di pusat temuduga, para calon dikehendaki mendaftar dengan urusetia dan menghantar salinan dokumen yang berkenaan. Calon-calon dikelompokkan kepada kumpulan-kumpulan kecil dimana setiap kumpulan terdiri daripada lima ke tujuh orang pelajar. Jumlah pelajar dalam sesuatu kumpulan bergantung kepada jumlah calon di pusat temuduga tersebut.

Proses penilaian JPA merangkumi tiga (3) bahagian iaitu perbincangan dalam Bahasa Melayu, perbincangan dalam Bahasa Inggeris, dan temuduga. Urutan ketiga-tiga bahagian mungkin berbeza antara satu calon dengan calon yang lain memandangkan ianya berlangsung secara serentak mengikut kelompok yang telah ditetapkan. Fasilitator yang bertugas membawa calon-calon ke bilik mengikut sesi yang telah ditetapkan. Secara amnya, sesi perbincangan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris bertujuan untuk melihat keupayaan para pelajar berfikir secara kritikal dan mengutarakan pendapat tentang sesuatu isu yang dikemukakan oleh panel penemuduga.

Bagi sesi perbincangan Bahasa Malaysia, terdapat dua orang panel yang akan menilai para calon. Sebelum sesi bermula, panel akan meminta calon-calon untuk memilih seorang ketua kumpulan. Ketua kumpulan tersebut akan diberikan satu soalan dan diminta untuk membacakan soalan tersebut kepada ahli kumpulan yang lain. Tugasan yang diberikan untuk sesi ini kebiasaannya berkaitan dengan isu semasa dan gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat Malaysia. Antara soalan yang ditanyakan adalah mengenai kes rompakan di kawasan perumahan, ketagihan internet, dan masalah pengekploitasian pengemis kanak-kanak. Para calon dikehendaki untuk mengemukakan pelan tindakan untuk menangani isu tersebut. Fasilitator telah menyediakan kertas mahjong dan alatulis untuk para calon mempersembahkan idea mereka secara bertulis. Semasa sesi perbincangan yang berlangsung selama 30 minit ini, para panel akan menilai seseorang calon berdasarkan keupayaan mereka untuk menyertai perbincangan dan cara mereka bekerja sebagai satu kumpulan. Selepas tamat waktu yang diperuntukkan untuk para calon berbincang, mereka diberi masa 15 minit untuk mempersembahkan hasil perbincangan mereka.

Para panel akan mengutarakan soalan-soalan kepada calon-calon secara rawak. Sepanjang sesi ini, para calon hanya dibenarkan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu sahaja.

Seterusnya, sesi perbincangan dalam Bahasa Inggeris dimana secara amnya mempunyai mekanisme yang sama seperti sesi perbincangan dalam Bahasa Melayu. Bagi sesi ini pula, topik kajian kes yang diberikan banyak berkisar tentang semangat kekitaan dalam rakyat Malaysia. Sebagai contoh, calon diberikan gambar seorang tokoh seperti Tan Sri P Ramlee dan mereka perlu menerangkan bagaimana (karya-karya) beliau mampu mewujudkan semangat kekitaan (sense of belonging) dalam kalangan generasi muda. Antara contoh lain termasuklah inisiatif 1Malaysia dan Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON). Panel akan menanyakan pelbagai soalan lanjutan daripada topik yang diberikan semasa sesi pembentangan. Contoh soalan adalah:

  • If you were given the chance to go abroad, what will you do to keep up the patriotism spirit?
  • Why patriotism is important?
  • What can you contribute to the nation?

Beralih pula ke sesi temuduga yang juga diadakan secara berkumpulan. Terdapat dua panel penemuduga di dalam bilik tersebut dimana mereka akan mengutarakan soalan yang sama kepada semua calon dan setiap calon diberi peluang untuk menjawab soalan tersebut secara individu. Sesi dimulakan dengan setiap calon diminta memperkenalkan diri masing-masing. Untuk soalan memperkenalkan diri, kebiasaannya saya akan memperkenalkan nama penuh, nama panggilan, negeri asal dan latar belakang pendidikan. Memandangkan temuduga ini untuk program khas ke empat buah negara, anda boleh menyatakan negara pilihan anda semasa memperkenalkan diri. Jika anda mempunyai kelebihan tertentu atau apa-apa nilai tambah yang relevan kepada permohonan biasiswa anda, jangan malu untuk selitkan maklumat tersebut secara ringkas semasa memperkenalkan diri.

Contoh:
“Hi everyone! I am Haziqah Yahya from Johor. I am the youngest from five siblings. I attended MRSM Kuala Terengganu for the whole five years of my secondary education. I actively involved in invention & innovation competitions in school where I had the opportunity to explore the creative side of me and had the chance to see and talk to bright inventors from all walks of life. That was one of the reasons why I would like to pursue my studies in engineering and my country of choice is France.”

Cara anda memperkenalkan diri dan maklumat yang anda sampaikan adalah penting kerana panel akan menanyakan soalan berkaitan apa yang anda telah sampaikan. Berdasarkan contoh diatas, memandangkan saya ada menyebut tentang negeri asal dan dimana saya bersekolah (Johor dan Terengganu), soalan susulan adalah mengapa saya memilih untuk bersekolah jauh daripada tempat tinggal dan kesediaan untuk melanjutkan pelajaran di negara asing. Selain itu, panel juga ada menanyakan tentang penglibatan saya di sekolah seperti yang telah saya nyatakan semasa memperkenalkan diri. Pokoknya, apa yang anda nyatakan semasa memperkenalkan diri akan menjadi topik bagi para panel untuk menanyakan soalan. Ini adalah salah satu cara untuk anda mengawal kemungkinan soalan-soalan yang ditanyakan oleh panel penemuduga.

Setelah kesemua calon di dalam bilik tersebut memperkenalkan diri, panel akan memulakan sesi soal jawab. Antara soalan yang ditanya termasuklah –

  • Adakah anda bangga menjadi rakyat Malaysia?
  • Selepas anda berjaya menamatkan pengajian di luar negara, apakah pembangunan yang anda ingin lakukan kepada negara ini?
  • Sejauh manakah anda pasti anda akan pulang ke tanahair selepas bergraduasi?
  • Apakah pendapat anda mengenai hak kebebasan bersuara?
  • Apa yang anda tahu tentang teknologi hijau?
  • Adakah anda menyokong teknologi nuclear dilaksanakan di Malaysia?
  • Apa yang anda tahu mengenai negara pilihan anda?
  • Mengapa anda memilih negara tersebut?

Semasa saya melalui sesi tersebut, antara topik hangat yang dibincangkan adalah Perhimpunan Bersih. Seingat saya, panel ada menanyakan soalan kepada kami semua apa yang kami tahu tentang Bersih dan pandangan kami sebagai generasi muda terhadap perhimpunan tersebut. Soalan ini berkait dengan pendapat mengenai hak kebebasan bersuara. Keseluruhan sesi temuduga adalah dalam Bahasa Inggeris. Semasa sesi soal jawab ini, urutan untuk menjawab soalan kebiasaannya berdasarkan nombor yang ada pada tag nama anda. Susunan tempat duduk di dalam bilik temuduga juga adalah berdasarkan nombor tersebut. Ini mungkin bagi memudahkan penemuduga mengenali dan menilai anda.

Sebagai persediaan untuk menghadiri sesi penilaian biasiswa JPA, calon perlulah menyediakan diri dengan pengetahuan mengenai isu-isu semasa sepanjang tahun sebelumnya dan tahun semasa. Berdasarkan soalan-soalan dan topik perbincangan yang diberikan, boleh dikatakan kesemuanya adalah berkait rapat dengan isu semasa, terutama sekali peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam Malaysia. Rajinkan diri anda untuk mengambil tahu perkara tersebut dan cuba nilai sendiri apakan kebaikan dan keburukan sesuatu peristiwa yang berlaku. Fikirkan impak peristiwa tersebut kepada negara, rakyat (sosial) dan ekonomi Malaysia.

Selari dengan program yang dipohon iaitu biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, anda juga perlu mengambil tahu apakan perkembangan teknologi terbaru di negara pilihan anda. Semasa saya ditanyakan soalan berkaitan negara pilihan, saya ada mengatakan antara sebab saya memilih negara Perancis adalah kerana kemajuan teknologi mereka terutama sekali dalam bidang penerbangan. Salah satu daripada fasiliti pembinaan utama untuk kapal terbang Airbus terletak di Perancis. Selain daripada itu, terdapat beberapa politeknik dan institusi pendidikan lain di Perancis yang mempunyai kolaborasi dengan industri berkaitan. Pastikan anda tahu kenapa anda membuat pilihan tersebut dan memohon biasiswa tersebut. Penemuduga ingin melihat sejauh mana anda membuat persiapan untuk temuduga tersebut dan keyakinan anda menjawab soalan-soalan yang diajukan.

Keputusan temuduga diumumkan beberapa minggu selepas itu. Saya tidak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Perancis semasa keputusan temuduga diumumkan. Sebaliknya, sekitar bulan Jun, saya telah dimaklumkan bahawa saya telah ditawarkan oleh JPA untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom/Amerika Syarikat dalam bidang Kejuruteraan dibawah program biasiswa yang lain. Saya mengambil keputusan untuk menolak tawaran tersebut memandangkan saya telah mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Australia dalam jurusan Kejuruteraan juga.

Kepada calon-calon yang berjaya disenarai pendek dan menerima panggilan temuduga, mudah-mudahan apa yang telah saya kongsikan membantu anda membuat persediaan sebelum menghadiri SAC. Semoga berjaya!

Jangan lupa follow Schoollah Malaysia di Twitter, Instagram & Facebook untuk info terkini berkenaan biasiswa dan tips-tips pendidikan!

Subscribe To Our Newsletter

Subscribe To Our Newsletter

Join our mailing list to receive the latest news and updates from our team.

You have Successfully Subscribed!