MARA: Young Talent Development Programme (YTP) 2018

Salam perkenalan. Jazreena adalah salah seorang pelajar yang dibiayai MARA di bawah Program Pelajar Cemerlang Lepasan SPM bagi tahun 2014 atau kini lebih dikenali sebagai MARA Young Talent Programme (YTP). Selepas menamatkan Foundation in Accounting di Kolej Yayasan Saad Business School, saya kini meneruskan pengajian di Victoria University of Wellington, New Zealand.

Seperti yang diketahui umum, MARA adalah antara badan penaja utama di Malaysia terutamanya untuk golongan Bumiputera. Hari ini saya akan kongsikan pengalaman mengikuti proses penilaian di MARA Student Assessment Center (MSAC). Kebiasaannya, pelajar yang telah memohon bagi program ini akan membuat ujian psikometrik atas talian (online assessment) dan kemudiannya boleh menyemak di laman web MARA atau anda akan dihubungi melalui emel sekiranya anda layak untuk mengikuti penilaian seterusnya di MSAC.

Berdasarkan pemerhatian saya, proses penilaian MARA di MSAC boleh berubah mengikut tahun. Saya telah mengikuti penilaian ini pada tahun 2015 di Kolej MARA Banting, Selangor. Seperti biasa, saya menjangkakan penilaian akan berbentuk formal dan menyiapkan diri dengan soalan biasa temuduga serta pakaian yang sesuai. Ketika menerima emel dari pihak MARA, kami diberi arahan untuk memakai pakaian sukan seperti t-shirt, seluar serta kasut sukan. Tidak seperti proses temuduga lain yang kebiasannya pemohon perlu hadir berpakaian formal dan kemas.
Beberapa dokumen yang perlu dibawa ke MSAC adalah seperti berikut:

  • Dokumen latar belakang diri dan keluarga
  • Slip gaji ibu bapa (ibu bapa yang bekerja sendiri perlu mengisi borang yang disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah)
  • Slip keputusan SPM
  • Slip tawaran temuduga
  • Slip ujian psikometri

Kesemua dokumen ini perlu disahkan dan ditandatangani oleh Ketua Kampung/JKKK atau pegawai yang dibenarkan kemudian disertakan dalam sekeping sampul surat bersaiz A4. Kami tidak diberitahu untuk membawa sijil sijil akademik ataupun kokurikulum lain, tetapi kebanyakan peserta membawa fail sijil pada hari tersebut. Namun, sepanjang proses temuduga, kami tidak diminta untuk melampirkan sijil tersebut.

Terdapat 2 sidang pada hari tersebut iaitu sidang pagi dan sidang petang. Selepas mendaftar, kami dikumpulkan di dalam dewan sebelum dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Oleh kerana MSAC bersifat seperti penilaian pusat, maka ramai pemohon yang hadir pada hari tersebut. Kami kemudiannya diasingkan mengikut kursus perubatan atau bukan perubatan. Saya telah memohon bagi bidang perakaunan jadi saya termasuk dalam kumpulan yang bukan bidang perubatan. Kami seterusnya dibahagikan lagi kepada 12 kumpulan dengan 8 ahli bagi setiap kumpulan.

Setiap sidang terdapat 2 sesi yang dipanggil sebagai checkpoint. Checkpoint pertama melibatkan aktiviti berkumpulan manakala checkpoint kedua kumpulan akan diberi tugasan case study.

Checkpoint Pertama

Di checkpoint ini, setiap kumpulan akan dipecahkan kepada 2 kumpulan kecil. Sesi ini memerlukan daya imaginasi yang tinggi di mana setiap kumpulan akan diberikan beberapa objek dan membentangkan projek itu sebagai sesuatu yang lain. Sebagai contoh, penyapu sebagai pendayung sampan. Setiap kumpulan diberi masa 2 minit untuk berbincang dan hasilkan idea baru.

Tips:

  • Semasa aktiviti dalam kumpulan, pastikan anda berinteraksi sebanyak mungkin dengan ahli kumpulan anda. Bincangkan dan cuba untuk menyumbang idea atau memberi respons kepada idea ahli kumpulan anda.
  • Aktiviti ini memerlukan daya kreativiti yang tinggi tetapi anda perlulah memastikan isi kandungan yang anda sampaikan adalah relevan dan realistik. Anda boleh huraikan isi dengan contoh yang bersesuaian.
  • Elakkan dari menjadi ahli kumpulan yang pasif dan sentiasa bersetuju sahaja dengan idea ahli kumpulan yang lain. Anda juga boleh untuk tidak bersetuju dan cuba tampil dengan cadangan yang lebih baik.

Checkpoint Kedua

Seterusnya, kumpulan kami dibawa ke checkpoint seterusnya. Di sesi ini, setiap kumpulan akan diberi situasi atau kes tertentu yang perlu dibincangkan dalam tempoh 20 minit. Situasi yang diberi berkaitan dengan isu semasa atau hanya situasi yang direka. Antara topik yang diketengahkan dalam case study adalah seperti isu alam sekitar, isu ekonomi dan kesihatan. Setiap kumpulan akan diberi masa 5 minit untuk membentangkan hasil perbincangan dan setiap ahli kumpulan perlu membentangkan hasil perbincangan. Perbincangan dan pembentangan dilakukan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

Tips:

  • Pastikan anda mempersiapkan diri dengan pengetahuan am serta isu semasa sebelum hadir ke proses penilaian atau temuduga. Isu semasa tidak hanya tertumpu kepada bidang pengajian yang anda mohon. Anda perlu mempersiapkan diri sebagai pelajar holistik dengan pengetahuan dan isu dalam sektor kesihatan, ekonomi, alam sekitar dan sebagainya. Anda boleh mencari contoh case study di Internet atau menonton contoh perbincangan di YouTube.
  • Anda perlu yakin dan berani untuk memberi pendapat dan menyumbang idea. Bersedia juga untuk mendengar dan menerima pendapat ahli kumpulan anda. Kebiasaannya, penilaian begini ingin melihat keupayaan anda untuk berhujah, memberi idea dan bekerjasama dalam kumpulan.
  • Anda tidak perlu terlalu fokus untuk memberi hujah tanpa menghiraukan peserta lain. Anda juga boleh membantu ahli kumpulan anda yang gugup atau tidak mempunya idea dengan soalan seperti “What is your opinion about this?” atau “Do you have any points that you want to add?”
  • Latih diri untuk lancar dalam Bahasa Inggeris. Anda tidak perlu risau mengenai tatabahasa atau perkataan. Pastikan anda boleh menyampaikan idea dengan bahasa yang mudah difahami. Selain itu, bina keyakinan untuk memberi pembentangan seperti lantunan suara dan eye contact.

Soalan Temuduga

Di akhir sesi kedua, kami semua diberi pilihan untuk memilih satu nombor. Setiap nombor ini mempunyai soalan yang berbeza. Soalan yang diberi ialah soalan lazim temuduga. Oleh itu, setiap ahli kumpulan akan menjawab satu soalan. Soalan ini diajukan mengikut giliran dan dilakukan di hadapan panel penilai dan ahli kumpulan.
Antara soalan yang diajukan adalah seperti:

  • Why you choose MARA and not JPA?
  • If you are offered another course and country that is not of your choice, would you still accept it? Why?
  • Tell me about yourself.

Tips:

  • Siap sedia beberapa jawapan untuk soalan seperti ini supaya anda tidak terlalu gugup ketika menjawab. Anda boleh mencari contoh soalan di Google dan menonton sesi temuduga di YouTube.
  • Jadi diri sendiri dan jujur dalam memberi jawapan. Tiada jawapan yang betul atau salah kerana penilai hanya ingin melihat sejauh mana minat dan kesungguhan anda untuk melanjutkan pelajaran.
  • Cuba untuk memberi huraian lanjut untuk menjelaskan jawapan anda kepada penilai. Berikan contoh, pendapat, pengalaman atau impian anda kepada penilai.
  • Berikan jawapan anda dengan penuh keyakinan. Kekalkan eye contact anda dengan panel penilai. Sebelum menjawab soalan, ambil masa seketika untuk berfikir dan bertenang sebelum memberi penjelasan.

Akhir sekali, panel penilai akan bertanya sekiranya peserta ada sebarang soalan yang ingin diajukan. Ambil kesempatan ini untuk bertanyakan soalan yang relevan seperti “What is your expectation on MARA scholars?” dan sebagainya.

Saya kemudian menerima tawaran dari pihak MARA untuk membuat persediaan Foundation in Accounting selama setahun di Kolej Yayasan Saad Business School dan kini dalam tahun kedua Bachelor of Commerce in Accounting mengambil minor Marketing di Victoria University of Wellington, New Zealand. Nasihat saya supaya anda mempersiapkan diri dari segi pengetahuan dan keyakinan diri dan cuba untuk berinteraksi sebaik mungkin sepanjang tempoh temuduga.

Jangan lupa follow Schoollah Malaysia di Twitter, Instagram & Facebook untuk info terkini berkenaan biasiswa dan tips-tips pendidikan!

Subscribe To Our Newsletter

Subscribe To Our Newsletter

Join our mailing list to receive the latest news and updates from our team.

You have Successfully Subscribed!