Petronas Youngstars Day (PYD)

Anis merupakan pelajar lepasan Diploma Perniagaan Insurans di UiTM Lendu dan ditaja sepenuhnya oleh biasiswa Petronas untuk menyambung pelajaran di University of Queensland Australia.

Hari ini saya nak kongsikan pengalaman Anis tentang Petronas Youngstars Day. Apa itu Petronas Youngstars Day? Ianya merupakan hari di mana Petronas menganjurkan sesi temu duga untuk mereka yang telah terpilih dan layak untuk ke peringkat seterusnya. Pada 5 September 2015, Anis telah ke Taylor University, Subang Jaya (Kampus Lakeside) untuk menghadiri temu duga tersebut.

Di dalam e-mel Petronas menyatakan yang Anis harus membawa beberapa dokumen ke Petronas Youngstars Day. Ianya adalah seperti berikut:

  • Dokumen tentang latar belakang diri sendiri dan keluarga
  • Slip gaji ibu bapa (bagi yang bekerja sendiri, boring itu harus ditandatangan oleh Pesuruhjaya Sumpah).
  • Slip keputusan MUET/IELTS
  • Slip keputusan SPM
  • Surat tawaran daripada universiti (dalam atau luar negara)
  • Kad pengenalan ibu bapa dan diri sendiri

Kesemua dokumen harus difotokopi dan disahkan oleh pegawai/ketua kampung/JKK atau sesiapa yang mempunyai pangkat tertentu. Selain itu, Petronas mengatakan yang kami harus membawa dua keping sampul bersaiz A4 untuk meletakkan dokumen yang original dan salinan. Jangan risau tentang dokumen yang original, mereka akan memulangkan balik sejurus habis temu duga.

Pada hari itu, staf Petronas memberitahu kami yang kami merupakan pelajar yang terpilih dan daripada ratusan pelajar yang hadir pada hari itu, hanya beberapa orang akan terpilih. Petronas Youngstars Day 2015 hanya berlaku selama dua hari berturut. Sesi Anis adalah pada hari Sabtu, tak silap dalam 100++ pelajar yang hadir. Sesi temu duga ini terdiri daripada tiga bahagian iaitu temu duga secara individu, temu duga secara berkumpulan (dalam bentuk perbincangan) dan critical thinking test.

Pada pukul 8.30 pagi, kami diminta untuk masuk ke dewan kuliah dan dibahagi kepada beberapa kumpulan. Satu kumpulan mempunyai 5 orang. Kebetulan, kumpulan Anis semuanya terdiri daripada wanita-wanita yang hebat. Selepas dibahagikan kumpulan, kami terus diberi arahan untuk ke bilik masing-masing.

Di dalam bilik kelas itu, kami diberi masa beberapa minit sahaja untuk memikirkan huraian yang bernas dan tepat untuk topik yang diberikan. Sewaktu itu, Anis dapat tajuk tentang Advertising dan isi yang saya dapat ialah:

“Government should put strict regulations on international company, agree or disagree?”

Selepas itu, kelima-lima kami dibawa ke bilik temu duga yang  mempunyai dua orang penemuduga di dalamnya. Seorang demi seorang masuk ke dalam bilik itu mengikut  angka giliran masing-masing. Giliran Anis merupakan orang yang ketiga/keempat daripada 5 orang pelajar. Sewaktu temu duga individu dijalankan, mereka telah bertanya beberapa soalan.

  • Temu duga secara individu

    • Latar belakang diri sendiri dan keluarga
    • Kelebihan dan kelemahan
    • Latar belakang pendidikan
    • Kenapa memilih subjek tertentu untuk menyambung pelajaran
    • Huraikan sedikit ringkasan tentang tajuk dan isi yang diberi sebentar tadi

TIPS:

Semasa saya masuk ke dalam bilik temu duga, saya telah memberi senyuman kepada dua penemuduga dan terus menjawab soalan yang diberikan seperti di atas. Saya tidak gementar dan saya menganggap mereka berdua adalah kawan saya yang yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri saya.

Kelemahan yang perlu dinyatakan jangan terlalu negatif seperti tidak tepati masa, susah bekerja secara kumpulan atau sukar menerima pendapat orang lain. Fikirkan kelemahan yang tidak menunjukkan kelemahan diri anda. Contohnya, saya menyatakan saya mempunyai sikap talkative dan penemuduga tersebut ketawa mendengarnya kerana ianya sesuatu yang lain daripada lain. Lalu mereka suruh saya menghuraikan kenapa bercakap banyak merupakan kelemahan diri saya.

Di samping itu, saya memberitahu yang saya memilih kos yang berlainan kerana saya merupakan seseorang yang suka akan cabaran baru. Dan saya ada cita-cita untuk mempunyai perniagaan sendiri, jadi saya kena belajar tentang Perakaunan untuk mengendalikan akaun saya kelak.

  • Temu duga secara berkumpulan

    • Huraikan tentang isi kandungan anda
    • Adakah anda setuju atau tidak setuju dengan isi tersebut? Huraikan.
    • Berikan contoh-contoh terkini di dalam perbincangan tersebut
    • Berikan kesimpulan

TIPS:

Semasa temu duga secara berkumpulan, kami berlima berada di dalam bilik tersebut dan saya memulakan perbincangan tersebut. Anda tidak perlu risau tentang Tatabahasa atau cara anda menyebutnya asalkan ianya jelas dan didengari oleh penemuduga.

Notakaki: Sentiasa bertolak-ansur antara satu sama lain dan bukannya berbalah. Tunjukkan diri anda yang professional dan mengekalkan momentum perbincangan yang terbuka.

  • Critical Thinking Tests

    • 40 soalan secara MCQ selama 30 minit
    • Computer-based test
    • Ujian ini dari Cambridge, UK
    • Mempunyai 2 bahagian yang menguji tahap keyakinan diri anda sendiri dan juga subjek yang telah anda pelajari sewaktu SPM

TIPS:

Bahagian 1: Yang ini tiada pemarkahan. Cuma mereka ingin mengetahui tentang tahap keyakinan diri, kepercayaan diri dan semuanya tentang diri anda sendiri dan tindakan atau perbuatan anda terhadap sesuatu situasi dan bagaimana anda berinteraksi secara kumpulan. Cara menjawab seperti menjawab Questionnaires: nombor 1 untuk Tidak Setuju dan nombor 5 untuk Paling Setuju.

Bahagian 2: Yang ini ada pemarkahan. 40 soalan kesemuanya terdiri daripada soalan Matematik, Bahasa Inggeris, Sains, Pengetahuan Am, Fizik dan soalan abstrak. Contohnya, ada beberapa bentuk jika digabung menjadi apa. Soalan ini adalah paling kritikal kerana kita perlu berfikir di luar kotak. Sila Google untuk soalan-soalan seperti ini.
Selepas tamat semua sesi, kami dikumpulkan kembali di dalam dewan kuliah dan semua pelajar beransur balik.

Pada 23 Oktober 2015, saya telah mendapat keputusan yang saya telah berjaya mendapat tajaan Petronas untuk menyambung pelajaran di University of Queensland, Australia dalam jurusan Perakaunan. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana semuanya adalah daripada kekuasaan-Nya. Sentiasa yakin dengan diri anda sendiri dan percaya kebolehan anda. Tiada yang mustahil jika anda berfikir positif.

Pertanyaan selanjutnya mengenai temuduga Petronas? Ikuti Anis Zahirah di Twitter & Instagram sekarang!

Jangan lupa follow Schoollah Malaysia di Twitter, Instagram & Facebook untuk info terkini berkenaan biasiswa dan tips-tips pendidikan!

Subscribe To Our Newsletter

Subscribe To Our Newsletter

Join our mailing list to receive the latest news and updates from our team.

You have Successfully Subscribed!