Permodalan Nasional Berhad (PNB)

Permohonan Biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) – Global Scholarship Award dibuka selepas keputusan SPM diumumkan. Tidak seperti biasiswa lain, anda perlu memuat turun borang permohonan melalui laman sesawang PNB dan mengisi secara manual dan seterusnya menghantar borang dan dokumen yang diperlukan seperti salinan sijil SPM, kad pengenalan pemohon dan juga sijil kokurikulum melalui pos kepada PNB.

Dinasihatkan supaya menghantar seminggu lebih awal daripada tarikh tutup untuk mengelakkan permohonan anda ditolak. PNB menawarkan biasiswa untuk pelbagai bidang pengajian seperti Perakaunan, Kejuruteraan dan Sains Aktuari di United Kingdom dan Australia.

Selepas dua minggu daripada tarikh tutup permohonan, saya telah menerima panggilan telefon daripada PNB untuk menghadiri written test atau ujian bertulis di Menara PNB. Terdapat dua sesi untuk ujian ini, iaitu sesi pagi dan petang. Saya memilih untuk menghadiri sesi pada sebelah petang.

Untuk pengetahuan anda, ujian bertulis ini mengikut format Critical Reasoning Test Battery (CTRB) yang diimport khas daripada United Kingdom. Jika sebelum ini anda pernah menduduki online test Yayasan Khazanah, Maybank dan Yayasan Telekom Malaysia, ujian bertulis PNB ini mempunyai persamaan dengan online test tersebut. Terdapat tiga (3) bahagian dan ujian ini mengambil masa satu (1) jam. Bahagian-bahagian tersebut ialah:

Verbal test

Bahagian ini mengandungi 30 soalan dan anda perlu menjawab dalam masa 20 minit. Ianya meliputi petikan pendek dan soalan yang diberikan adalah untuk menilai kefahaman pelajar. Setiap soalan terdapat tiga (3) pilihan jawapan:

  • True
  • False
  • Cannot Say

Jika anda ingin membuat persediaan untuk bahagian pertama ini, anda digalakkan untuk membaca surat khabar dan majalah berbahasa Inggeris seperti News Straits Times dan Reader’s Digest kerana ianya dapat meningkatkan kefahaman dan membantu anda untuk mempraktikkan teknik speed reading. Ini adalah kerana tahap bahasa Inggeris untuk bahagian ini agak tinggi dan anda perlu memahami kesuluruhan petikan untuk menjawab dengan baik.

Numerical test

Bahagian ini mengandungi 18 soalan dan anda perlu menjawab dalam masa 20 minit. Untuk bahagian ini, anda perlu memahami rajah, carta berserta nombor. Antara soalan yang ditanya ialah mengira purata jualan, pertumbuhan modal dan keuntungan kasar serta bersih. Jangan lupa untuk membawa kalkulator! Dari segi persediaan, anda boleh membuat latihan dengan mencari soalan-soalan di internet. Sebagai contoh, University of Kent Numerical Test. Latihan ini dapat membantu anda untuk melatih diri mengira dengan cepat dan tepat di bawah tekanan masa.

Diagrammatic test

Bahagian ini mengandungi 40 soalan dan anda perlu menjawab dalam masa 20 minit. Untuk bahagian ini, anda perlu memahami konsep dan idea yang divisualisasikan melalui penggunaan rajah dan gambar. Anda perlu meneka gambar seterusnya mengikut turutan. Bahagian ini memerlukan kemahiran pemerhatian yang tinggi. Oleh itu, anda digalakkan supaya melakukan beberapa ujian IQ secara dalam talian sebelum menghadiri ujian ini. Di samping itu, anda juga boleh memuat turun aplikasi BrainWars kerana ia dapat membantu anda untuk mengaktifkan dan melatih otak berfikir dengan cepat.

Selepas sebulan, saya telah dijemput untuk menghadiri sesi temuduga melalui panggilan telefon. Sesi temuduga dijalankan secara individu dan dalam bahasa Inggeris dan terdapat tiga (3) panel. Soalan yang ditanya semasa temuduga ini merupakan soalan lazim seperti:

  • Introduce yourself
  • Why you deserve this scholarship?
  • Describe an experience when you dealt with challenges
  • What course do you want to pursue and why?
  • What do you know about PNB?
  • Can you explain more about ASB?

Tips yang saya dapat berikan ialah sebelum anda hadir ke sesi temuduga, pastikan anda membuat research tentang bidang pengajian yang anda ingin ambil. Anda perlu untuk menunjukkan yang anda merupakan seorang pelajar yang bercita-cita tinggi dan sanggup bekerja keras untuk mencapai cita-cita tersebut. Hal ini kerana, PNB hanya menghantar pelajar tajaan mereka ke universiti terkemuka dunia seperti:

  • University of Oxford
  • University of Cambridge
  • University College London
  • London School of Economics and Political Science
  • University of Warwick
  • Cass Business School, University of London

Seterusnya, anda juga perlu membuat research tentang PNB secara mendalam, mengetahui aktiviti utama dan juga lembaga pengarah. Di samping itu, anda perlu sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu semasa. Untuk soalan berkaitan pengalaman, anda digalakkan menjawab dengan menggunakan format STAR seperti yang saya telah kongsikan sebelum ini (baca sini). Akhir kata, hadirlah ke sesi temuduga dengan pakaian terbaik, senyum dan yakin. Semoga berjaya!

Jangan lupa follow Schoollah Malaysia di Twitter, Instagram & Facebook untuk info terkini berkenaan biasiswa dan tips-tips pendidikan!

Subscribe To Our Newsletter

Subscribe To Our Newsletter

Join our mailing list to receive the latest news and updates from our team.

You have Successfully Subscribed!