Yayasan Telekom Malaysia (YTM)

Biasiswa Yayasan Telekom Malaysia (YTM) kini kembali lagi untuk tahun 2018! Penajaan ini khusus hanya untuk lepasan:

  1. SPM 2017
  2. Diploma
  3. Asasi
  4. Matrikulasi
  5. STPM/STAM
  6. Setaraf

Apakah bidang yang ditawarkan untuk syarikat Telekom Malaysia? Ayuh semak infografik ini!


Anda boleh memohon penajaan Yayasan Telekom Malaysia (YTM) di sini – Laman Rasmi
Mohon sekarang kerana tarikh tutup adalah pada 31 Mac 2018!
Untuk pelajar yang telah memohon, anda boleh membaca perkongsian pengalaman temuduga Yayasan Telekom Malaysia (YTM) oleh salah satu Wakil Luar Negara, Schoollah Malaysia:

Pengalaman temuduga ini diceritakan oleh Saudari Sabihah Rusman, merupakan pelajar Perakaunan di University of Auckland, New Zealand.

 
Saya memohon biasiswa Yayasan Telekom Malaysia (Talent A – Luar Negara dan Dalam Negara) secara dalam talian selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2015. Antara sebab saya memohon biasiswa ini adalah kerana saya merupakan penerima biasiswa YTM EduXcel Jr semasa berada di Tingkatan 4 dan 5. Di samping itu, YTM juga menawarkan kursus pengajian yang saya minati iaitu jurusan Perakaunan dan Ekonomi.
Langkah pertama dalam memohon biasiswa YTM ialah mengisi borang permohonan secara dalam talian. Proses permohonan agak mudah kerana pelajar tidak perlu memuat naik sijil-sijil berkaitan dan juga menulis esei. Selepas dua minggu daripada tarikh tutup permohonan, tarikh saringan pertama diumumkan dan saya terpilih bagi menjalani penilaian atas talian. Penilaian tersebut terdiri daripada dua bahagian yang menguji pemahaman, Matematik dan juga penguasaan bahasa Inggeris. Kuiz ini mengambil masa dalam 40 minit.
Selepas lima hari, saya telah dijemput untuk menghadiri EQ Camp di Kolej Multimedia (Utara), Taiping, Perak selama 4 hari 3 malam. Penginapan dan makan minum peserta disediakan oleh pihak kolej dan ditanggung oleh YTM. Sesi temuduga diadakan sehari selepas EQ Camp tamat iaitu pada hari ketiga. Seramai 141 orang peserta hadir dan program dimulakan dengan pemberian taklimat oleh pihak YTM.
Selepas itu, sesi “Ice Breaking” dijalankan, di mana para peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada 23 dan 24 orang peserta. Setiap peserta diberikan tag nombor untuk dipakai sepanjang kem dan penilaian dibuat berdasarkan tag tersebut. Setiap kumpulan juga diselia oleh seorang fasilitator yang juga merupakan penilai.
Aktiviti menarik sepanjang kem termasuklah aktiviti berkumpulan, sesi perdebatan, perbincangan isu semasa, riadah dan juga malam kebudayaan. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan merupakan perbincangan untuk lebih mengenali diri sendiri. Antara topik yang yang diperdebatkan pula ialah perbezaan belajar di dalam dan luar negara dan kewajaran barisan kerajaan sekarang dirombak dan digubal semula. Pelajar dibahagikan kepada tiga peranan iaitu:

  • Pihak Kerajaan
  • Pihak Pembangkang
  • Berkecuali

Bagi aktiviti riadah pula, setiap kumpulan dikehendaki untuk mencadangkan sebarang permainan dan kumpulan lain akan bergilir-gilir bermain permainan tersebut. Selain itu, bagi malam kebudayaan, setiap kumpulan telah mempersembahkan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti tarian kuda kepang, boria dan juga drama pendek. Pada hari terakhir kem tersebut, pihak YTM mengumumkan 100 orang peserta yang layak untuk menghadiri sesi temuduga pada keesokkan harinya. Bagi yang tidak layak, pelajar dibenarkan pulang pada hari tersebut.
Untuk sesi temuduga, terdapat beberapa sesi bermula daripada 9.00 pagi sehingga 4.30 petang dan ianya dijalankan secara berkumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada lima orang peserta dan ditemuduga oleh tiga orang panel yang juga merupakan lembaga pengarah dan pengurus kanan TM. Temuduga berlangsung selama satu jam dan terdapat tiga soalan yang diajukan, di mana para calon diminta untuk:

  1. Memperkenalkan diri
  2. Perancangan calon untuk lima tahun akan datang
  3. Cabaran yang dihadapi serta cara untuk mengatasinya

Penemuduga turut bertanyakan tentang persediaan calon sekiranya pihak YTM menghantar mereka untuk menyambung pengajian ke luar negara. Di akhir sesi temuduga, calon diberi peluang untuk bertanya soalan tentang biasiswa dan soalan yang berkaitan seperti di mana pelajar akan dihantar untuk membuat persediaan sebelum ke luar negara dan berapa lama tempoh sebelum keputusan biasiswa YTM diumumkan.
Selepas sebulan menunggu, keputusan biasiswa YTM diumumkan dan tawaran dihantar melalui emel. Pelajar yang terpilih dikehendaki mengesahkan tawaran dalam tempoh seminggu. Apa yang menarik minat saya ialah pihak YTM bukan sahaja menaja yuran pengajian, malah memberikan:

  • Elaun sara hidup
  • Elaun buku & kertas projek
  • Elaun alat perkakas
  • Elaun komputer riba

Seterusnya, YTM juga menyediakan pelbagai program untuk membina “soft-skill” penerima biasiswa seperti kelas bahasa Inggeris dan Mandarin. Di samping itu, YTM juga menawarkan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian kelak untuk membayar “bond” iaitu maksimum 5 tahun bagi pelajar dalam negara dan 7 tahun bagi pelajar luar negara.
Antara tips yang saya dapat kongsikan untuk berjaya dalam EQ Camp dan temuduga ialah sentiasa menjadi orang yang pertama untuk menjawab soalan, dan jika anda bukan orang yang pertama, pastikan anda menunjukkan sikap berdaya saing semasa kem berlangsung. Seterusnya, anda juga perlu menonjolkan sikap toleransi dan kerjasama yang baik dalam kumpulan. Selain itu, anda juga digalakkan untuk terlibat secara aktif semasa perbincangan dan aktiviti dalam kumpulan berlangsung. Semasa sesi temuduga pula, anda perlu menonjolkan keyakinan dan juga jujur. Bersedia untuk menjawab susulan daripada panel. Pastikan anda tidak lupa untuk membawa semua dokumen dan sijil yang diperlukan. Semoga berjaya!
Jangan lupa follow Schoollah Malaysia di Twitter, Instagram & Facebook untuk info terkini berkenaan biasiswa dan tips-tips pendidikan!

Subscribe To Our Newsletter

Subscribe To Our Newsletter

Join our mailing list to receive the latest news and updates from our team.

You have Successfully Subscribed!